Monday, 20 February 2017

Peperangan Dalam Cinta



Semasa di bawah pemerintahan Ratu Kuning, Pattani dikatakan menjadi sebuah pusat kebudayaan Melayu bahkan tarian Makyung yang dipersembahkan ketika zaman pemerintahan Ratu Hijau dikembangkan lagi oleh baginda. Bahkan Tarian Asyik yang ditarikan oleh gadis-gadis cantik di dalam istana turut dimainkan di istananya.
Dan dalam gadis-gadis tersebut, maka seorang memainkan peranan kepada kejatuhan pemerintahan ratu wanita Pattani dan menjadi penyebab kepada kejatuhannya Pattani. Ironinya, kegemilangan Pattani dimulakan wanita, dikembangkan lagi oleh wanita,dan diakhiri juga oleh wanita.
Nama Dang Sirat harus disemat dalam setiap pemikiran kita, antara gadis yang terlibat dalam Tarian Asyik di istana. Dicatatkan bahawa Dang Sirat ini mempunyai suara yang sangat merdu, tetapi tidaklah fizikalnya. Jauh berbeza dengan Ratu Kuning yang dikhabarkan sebagai jelitawan. Lalu untuk mencuri suami Ratu Kuning, maka ubat guna-guna dihantar padanya sehinggakan seluruh Pattani ketika melihatkan wajah Dang Sirat sebagai seorang wanita yang peri wajahnya tidaklah punya tandingan.
Bayangkanlah ketika itu, betapa kuatnya ilmu hitam itu, maka Yang Dipertuan Muda ketika itu membina sebuah Istana kepada Dang Sirat yang dijadikan gundiknya, lalu mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayangnya ke atas Ratu Kuning meski ketika itu, Ratu Kuning sedang mengandungkan anaknya.
Permintaan Dang Sirat semakin melampau-lampau apabila dia memintakan disiapkan cuping emas seberat 50 tahil, baju daripada emas, dan diminta ditabalkan sebagai Cik Puan, Namun permintaan itu dibantah oleh para pembesar Pattani membuatkan Yang Dipertua Muda Johor naik murka dan mengejar para pembesar Pattani di atas seekor gajah bersama dengan Dang Sirat. Ketika itulah sejarah mencatatkan bahawa ubat guna-guna yang dipasangkan pada sanggul Dang Sirat terjatuh ke tanah, maka wajahnya yang hitam lagi hodoh serta tubuhnya yang gemuk terserlah, Rasa ngeri dengan penampilan baru Dang Sirat itu dan menyedari bahawa dirinya terkena guna-guna, maka disitu juga tubuh Dang Sirat ditikamnya oleh Yang Dipertua Muda Johor.
Peristiwa yang berlaku itu meninggalkan kesan emosi yang sangat mendalam pada jiwa Ratu Kuning membuatkan wanita itu tidak lagi mempedulikan soal pemerintahan negaranya sehingga akhirnya dia digulingkan oleh pembesar bernama Raja Mir. Namun Raja Mir telah ditangkap dan dibunuh kerana menderhaka.
Dipendekkan cerita, ketika konflik antara Pattani dan Singgora, Ayyuthaya telah masuk campur dan membedil Pattani. Oleh kerana Ratu Kuning ketika itu sudah tua dan bukanlah pemerintah hebat seperti pada awal pemerintahannya, maka dia terpaksa berundur ke Kuantan sebelum mangkat pada tahun 1686. Selepas kemangkatan baginda, maka Pattani ketika itu mula memasuki era kejatuhannya dan raja-raja hebat seperti 4 ratu ini tidak lagi dilihat di Tamadun Melayu Pattani.

No comments:

Post a Comment